Tuesday 26 July 2016

PENGENALAN

Amalan khurafat merupakan amalan yang telah berlaku sejak zaman Arab jahiliyyah lagi. Sehingga kini amalan tersebut masih menjadi amalan dalam masyarakat Islam. Khurafat adalah salah satu bentuk penyelewengan dalan akidah Islam. Amalan khurafat mengalih pergantungan manusia daripada khalik iaitu Allah kepada makhluk yang dicipta oleh Allah.
Tajuk yang kami bincangkan ialah mengenai Unsur-unsur Khurafat dalam Filem. Khurafat ialah suatu kepercayaan dan perbuatan karut yang dianggap mempunyai hubungan dengan agama Islam sedangkan pada hakikatnya ia sebenarnya dilarang oleh agama Islam kerana bertentangan dengan konsep tauhid dan syariat dalam Islam. Selain itu, hal ini dapat memesongkan akidah kita sehingga boleh mengakibatkan kita menyekutukan Allah.
 Antara contoh perbuatan khurafat atau karut yang diamalkan oleh masyarakt kita pada zaman ini ialah mempercayai azimat yang boleh menahan sesuatu bahaya kepada seseorang, mempercayai binatang seperti burung boleh membawa tuah atau sial, membuang ancak bagi menghalau hantu dan mengunjungi kubur yang dianggap keramat. Pada masa kini, kita dihidangkan dengan pelbagai bentuk hiburan termasuklah perfileman yang berunsurkan hantu dan seram. Hal ini tidak kira sama ada melalui media cetak mahupun media elektronik. Pelbagai ciptaan atau rekaan alat-alat komunikasi yang serba canggih turut menambahkan lagi sumber hiburan yang sedia ada.
Namun bentuk-bentuk hiburan sebegini dapat mengundang kealpaan juga memberi kesan negatif kepada masyarakat. Lambakan drama dan filem yang berunsurkan tahyul, bidaah dan khurafat kini mula mendapat kritikan daripada masyarakat yang prihatin dengan perkembangan ini. Ada yang mula merasai keperluan untuk menghadkan pengeluaran drama dan filem sebegini, kerana dikhuatiri mampu mendatangkan kesan maha negatif kepada masyarakat terutama golongan muda-mudi. Sehinggakan mantan perdana menteri, Tun Dr.Mahathir sendiri memberi pendapat bahawa lambakan filem dan drama sebegini harus dikaji akan baik buruknya. Antara filem yang mengandungi unsur-unsur khurafat ialah Munafik, Jangan Pandang Belakang, Rasukan Ablasa, Histeria, Syaitan, Maut, Akhirat, Zombi Kampung Pisang, Congkak, Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu. Manakala, drama yang berunsurkan khurafat ialah Puaka Niyang Rapik, Anak Betong, Bilik 13, Seram, Susuk, Kliwon, Kekasihku Seru.

PENGERTIAN PENGAMALAN UNSUR KHURAFAT DALAM FILEM
Mengikut Kamus Dewan, istilah keramat bermaksud; suci dan berkat daripada kesuciannya itu (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat (seperti menyembuhkan penyakit, memberi keselamatan dan sebagainya). Khurafat juga bermaksud tempat atau sesuatu yang suci dan (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat.
Menurut Kitab Al-Mu’jam al-Wasit, khurafat  adalah cerita-cerita yang mempersonakan yang dicampuradukkan dengan perkara dusta. Manakala mengikut Kamus al-Marbawi bahawa khurafat ialah; sebarang cerita yang benar-benar dusta. Pendapat lain menyebut bahawa; khurafat adalah sesuatu hal yang tidak masuk akal atau perkara-perkara yang sukar untuk dipercayai kebenarannya.
Berdasarkan takrif tersebut dapat dibuat kesimpulan bahawa khurafat ialah sesuatu perkara mempersonakan berbentuk rekaan atau dongeng (legenda) yang karut atau tahyul yang menyimpang dari ajaran Islam.
Khurafat berasal dari perkataan bahasa arab: al-khurafat yang bererti dongeng, legenda, kisah, cerita bohong, dugaan, kepercayaan dan keyakinan yang tidak masuk akal, atau akidah yang tidak benar., menceritakan hal-hal yang tidak masuk akal di atas umumnya menarik dan mempesonakan, maka khurafat juga disebut dalam “al-hadis al-mustamlah min al-kidb”, cerita bohong atau karut yang menarik dan mempesonakan.
Secara istilah pula, khurafat adalah suatu kepercayaan, keyakinan, pandangan dan ajaran yang sesungguhnya tidak memiliki dasar dari agama tetapi meraka yang cenderung untuk melakukan perbuatan karut atau khurafat meyakini bahwa hal tersebut memiliki dasar dari agama. Oleh yang demikian, bagi umat Islam, ajaran atau pandangan, kepercayaan dan keyakinan apa saja yang dipastikan tidak benar atau ia sememangnya bertentangan dengan ajaran al-Qur’an dan Hadis nabi, yang dikategorikan sebagai khurafat.
Selain itu, kata lain bagi Khurafat secara bahasa berarti takhayul. Dalam kamus munawir khurafat ialah hal yang berkenaan dengan kepercayaan yang tidak masuk akal (batil). Pengertian khurafat dalam Islam pua ialah semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang atau bertentangan dengan ajaran Islam .
Berdasarkan pengertian di atas, khurafat ialah cerita dan perbuatan yang direka-reka dan bersifat dusta. Begitu juga dengan pemikiran yang direka-reka merupakan salah satu bentuk khurafat.
Antara contoh perbuatan khurafat ialah :
·         Menanam sebatang pokok pisang di halaman atau rumah yang baru selesai dibina dianggap dapat membawa sial pada penghuni rumah itu.
·         Jika bunga ditanam ditempat berdaun lebat dianggap dapat memiliki banyak rezeki.
·         Jika sebatang pokok beringin yang ditanam di halaman istana tumbang, hal ini pertanda akan terjadi penggulingan pimpinan negara.
·         Jika bunga teratai berkembang, hal ini pertanda bahwa dewa-dewa turun memberkatinya. Orang India mempersembahkan bunga teratai putih untuk Dewa Syiwa, bunga teratai merah untuk Dewa Brahma, dan bunga teratai biru untuk Wishnu.
·         Orang-orang Budha beranggapan bahwa jika bunga teratai tengah berkembang berarti roh-roh Budha tengah bersukaria.
·         Orang-orang China beranggapan bahwa dengan membuat bubur kacang merah pada sembahyang Tang Ceh, roh-roh jahatpun akan pergi terusir.
·         Cabai merah disajikan ketika terjadi hujan berhari-hari. Mengapa? Karena mereka menganggap dengan itu hujan akan cepat berhenti.
·         Jika terjadi musim penyakit, ditaruhlah bawang merah, lempuyang, dan sejenis rumput agar roh-roh pembawa penyakit tidak mendekati rumah.
·         Orang-orang China pada upacara Peh Cun menaruh rumput Ciang Pow (Acerus Calamus) di atas pintu, agar roh orang suci yang membunuh diri turun memberkati si empunya rumah.
·         Jika sebatang pohon Natal dipasang ditengah rumah, dianggap roh Yesus akan turun memberi pengampunan.
·         Jika anak-anak kecil terserang penyakit perut digantungkanlah sepotong aur kuning pada leher anak itu karena menganggap aur kuning dapat menolak penyakit.
·         Mengambil daun pisang beserta pelepahnya pada petang hari dianggap dapat menyebabkan kematian dalam perjalanan.
·         Pohon anjuang yang di tanam di sawah dan ladang dianggap dapat mengusir hantu pembawa hama tanaman. Pohon anjuang yang ditanam di kuburan dianggap dapat menghindarkan gangguan hantu kubur pada roh-roh mati dalam kuburan.
·         Pohon leci yang tengah berbuah dianggap sebagai pertanda roh-roh nenek moyang tengah berpesta pora.
·         Merangkai bunga melati pada malam hari dianggap dapat menghadirkan roh-roh gadis remaja.
·         Burung hantu yang bersuara pada malam hari dianggap sebagai pertanda akan ada perempuan melahirkan.
·         Kupu-kupu yang masuk ke rumah dianggap sebagai pertanda akan datang seorang tamu.
·         Burung hamah yang bersuara dianggap sebagai pertanda akan terjadi pembunuhan balas dendam
·         Mempercayai bahwa berjabat tangan dengan orang yang pernah berjabat tangan dengan orang yang secara berantai sampai kepada orang yang pernah berjabat tangan dengan Rasulullah akan masuk surga.
·         Mendapatkan barakah dengan mencucup tangan para ulama. Demikian itu dikerjakan dengan kepercayaan bahwa berkah Allah kepada ulama itu akan berlimpah kepadanya.
·         Mempercayai beberapa ulama tertentu itu keramat serta menjadi kekasih Allah sehingga terjaga dari berbuat dosa. Andakata pun berbuat dosa, maka sekedar sengaja diperbuatnya untuk menyembunyikan kesucianya tidak dengan niat maksiat.
·         Memakai ayat-ayat al-Qur’an untuk azimat menolak bala’, pengasihan dan sebagainya.
·         Mengambil wasilah (perantara) orang yang telah mati untuk mendo’a kepada Allah. Mereka berziarah ke kuburan para wali dan ulama besar serta memohon kepada Allah agar do’a (permohonan) orang yang berziarah kuburnya itu dikabulkan. Ada yang memohon dapat jodoh, anak, rizki, pangkat, keselamatan dunia akhirat dan sebagainya. Mereka percaya dengan syafa’at (pertolongan) arwah para wali dan ulama itu, permohonan atau doa mesti dikabulkan Allah karena wali dan ulama itu kekasih-nya.






PUNCA DAN AKIBAT DARIPADA PENGHASILAN FILEM YANG BERUNSUR KHURAFAT
Punca:

Akidah seseorang yang rosak seperti pergantungan seseorang terhadap sesuatu yang lain selain daripada Allah. Dalam Islam Allah memerintahkan manusia untuk mentauhidkan Allah semata-mata.Ini bermakna tiada yang berhak disembah melainkan Allah s.w.t dalam apajua keadaan. Permohonan kepada sesuatu selain Allah bermakna kita telah menyekutukan Allah yang mengakibatkan kita tergolong dalam fitnah paling besar dan amat ditakuti iaitu mensyirikkan Allah.
Selain itu, pengetahuan luar biasa bomoh dalam hal-hal berkaitan perkara ghaib telah menyebabkan mereka terlalu yakin dengan pengetahuan dan kelebihan yang mereka ada sehingga mengakibatkan masyrakat terperdaya dan meminta pertolongan daripada golongan ini. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini bahwa tiada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah s.w.t
Rasulullah s.a.w sendiri tidak memiliki kuasa untuk mendatangkan kemanfaatan kepada dirinya serta tidak berkuasa untuk menolak bahaya kecuali yang dikehendaki Allah s.w.t. jadi bagaimana manusia biasa memiliki kelebihan sedemikian wal hal Rasulullah yang bersifat maksum tidak dikurniakan Allah dengan kelebihan itu?
Punca lain ialah, wujudnya perasaan terlalu takut terhadap hantu,jin dan syaitan sehinggakan sanggup memberi salam dan tunduk hormat kepada penunggu setiap kali melalui tempat yang dianggap mempunyai keramat. Ada pula yang memberi pengeras malah memandikan kereta dengan air limau dan jampi mantera semata-mata untuk mengelakkan bala bencana.
Sebagai seorang Islam, sewajibnya kita mendapatkan perlindungan dan berserah diri kepada Allah. Syaitan, binatang buas serta manusia tidak dapat mendatangkan manfaat atau  menimpakan mudarat melainkan dengan izin Allah.

Akibat:

Terdapat beberapa unsur-unsur yang negatif yang mampu diserap kepada para penonton. Lebih-lebih lagi golongan di peringkat remaja dan kanak-kanak. Mereka ini merupakan golongan yang mudah terpengaruh kerana masih berada dalam proses belajar. Antara kesan negatif filem berunsur hantu dan seram ini adalah boleh merosakkan akidah umat Islam, menimbulkan syirik dan unsur kurafat dalam diri penonton, melemahkan iman seseorang dan memesongkan seseorang dari ajaran Islam.
Perkara ini sangat membimbangkan kerana ramai penonton yang meminati filem berunsur hantu dan seram ini terdiri daripada masyarakat melayu dan beragama Islam. Mereka ini terdiri daripada pelbagai peringkat usia iaitu golongan tua, dewasa, remaja dan kanak-kanak sendiri. Hal ini ditakuti menyempitkan fikiran dan mengancam akidah generasi muda dan kanak-kanak terutamanya. Ditakuti juga mereka ini akan terpengaruh dengan aksi-aksi yang dilakonkan mengenai kononnya wujud pelbagai jenis hantu yang direka semata-mata untuk menimbulkan rasa seram kepada penonton. Perasaan takut mereka itu dibimbangi adalah lebih kepada hantu-hantu rekaan tersebut melebihi kepada Allah s.w.t. Lakonan yang sangat berkesan daripada para pelakon pula telah menambahkan kakuatan terhadap kepercayaan tahyul, khurafat dan syirik.  Kekuatan kepercayaan terhadap hantu ini juga akan melemahkan iman dan memesongkan kepercayaan terhadap Allah s.w.t.
Dalam hal ini, ketaksuban penonton terhadap hantu akan menyebabkan mereka terbawa-bawa ke dalam kehidupan seharian. Misalnya, dibayangi hantu ketika berseorangan atau ditempat gelap, kanak-kanak pula takut untuk ke tandas kerana rasa ada hantu yang mengekori. Perkara ini tidak seharusnya dibiarkan berlarutan dan perlu ditangani segera.Kajian dilakukan berkaitan kesan dan pengaruh filem hantu terhadap penonton; menyenaraikan kesan antaranya tidak nyenyak tidur akibat diburu bayangan filem ngeri, perasaan takut hingga hilang daya kawal terhadap diri dan perasaan fobia melihat benda dikait dengan filem ditonton. Malah fobia terhadap kegelapan, binatang, bunyi atau keadaan yang terlalu sunyi menyebabkan perasaan takut berpanjangan.
Firman Allah Taala dalam Al-Quran,
يا بني آدم لا يفتننكم الشيطانكما أخرج أبويكم من الجنة ينزع عنهما لباسهما ليريهما سوآتهما إنه يراكم هو وقبيله من حيث لا ترونهم إنا جعلنا الشياطين أولياء للذين لا يؤمنون
“Wahai anak Adam! Janganlah engkau diperdaya oleh syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibubapamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian merka berdua untuk memperlihatkan aurat merka kepada mereka (yang sebelum itu tertutup) Sesungguhnya  syaitan dan  kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang yang tidak beriman”
            Di sini dapat disimpulkan bahawa terdapat banyak punca dan akibat yang diperolehi daripada filem yang berunsur khurafat terutama perfileman di Malaysia ini. Semakin hari semakin meningkat permintaan dalam penghasilan filem yang berunsurkan khurafat ini, oleh itu, perkara ini perlulah dipandang berat oleh pihak berkuasa, masyarakat dan setiap individu terutamanya yang beragama Islam. Hal ini demikian kerana perfileman yang berunsur khurafat ini perlu dikawal dan ditapis bagi memastikan keselamatan dan imej umat Islam terjamin.   


Perbicangan Unsur-unsur Khurafat dalam filem “Munafik”.

           

Sebagaimana yang kita ketahui di Malaysia terdapat banyak penghasilan dan keluaran filem yang berunsurkan seram. Hal yang demikian kerana masyarakat masa ini lebih menyukai filem-filem berunsurkan seram dan perkara ini menyebabkan permintaan filem berunsurkan seram ini semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh sebab itu, wujudlah penghasilan filem-filem yang mengandungi unsur khurafat.
            Filem yang kami pilih untuk kajian Unsur-unsur Khurafat dalam Filem ialah “Munafik”. Jika dirujuk dari tajunya mungkin tidak lihat dimana terletaknya unsur-unsur khurafat dalam kajian ini. Namun, setelah kami bertiga menonton file mini terdapat beberapa jalan cerita yang mengandungi unsur-unsur khurafat.
            Filem Munafik ini mengisahkan seorang pengamal perubatan secara Islam yang bergelar Ustaz Adam, beliau mengharungi hidupnya selepas terlibat dalam sebuah kemalangan langgar lari yang telah menyebabkan kematian arwah isterinya Zulaikha dan anaknya Amir. Kisah hidup Ustaz Adam mula berubah apabila beliau menerima seorang pesakit wanita yang bernama Maria.
            Maria merupakan seorang anak tunggal kepada salah seorang pengamal perubatan Islam yang Pak Osman. Maria juga mempunyai seorang ibu tiri bergelar Puan Zati. Maria telah menghidapi penyakit trauma dan gangguan emosi apabila terlibat dalam kemalangan yang dirancang oleh ayahnya sendiri Pak Osman.
            


Unsur-unsur khurafat mula timbul apabila Maria menemui sebuah kotak yang berisi tangkal di rumahnya. Tangkal itu merupakan milik Puan Zati yang mempercayai tangkal tersebut berfungsi sebagai perlindung kepada keluarganya. Namun, setelah kehadiran Ustaz Adam ke rumah mereka, beliau telah berjaya memusnahkan keujudan tangkal tersebut. Ustaz Adan juga telah memberi peringatan tentang keburukan penggunaan tangkal kepada Puan Zati yang telah melakukan perbuatan khurafat itu.
            Seterusnya, unsur-unsur khurafat dapat dilihat daripada lakonan Pak Osman yang merupakan pengamal perubatan secara Islam pada awalnya telah mengamalkan ilmu hitam melalui perjanjian bersama Iblis iaitu merupakan salah satu kepercayaan khurafat yang sangat dilaknati Allah. Pak Osman terlibat dengan pengamalan perubatan ini apabila beliau menyimpan perasaan iri hati terhadap Ustaz Adam. Beliau sanggup mempergunakan anaknya Maria untuk membunuh Ustaz Adam. Perkara menjadi lebih teruk apabila Pak Osman telah meghantar santau kepada anaknya Maria. Hal yang demikian telah membuka jalan yang luas untuk beliau membunuh Ustaz Adam. Akibat daripada sikap mementingkan diri, Pak Osman telah mengakibatkan isteri dan anak Ustaz Adam serta sahabat baiknya yang merupakan imam di kampung tersebut maut dalam dua buah kemalangan. Pak Osman juga telah mengakibatkan anaknya Maria meninggal dunia. Perkara ini berpunca daripada hasutan syaitan kepada Pak Osman. Bagaimanapun, segala kejahatan Pak Osman berjaya ditindas dan dihapuskan oleh kuasa Allah s.w.t yang memberi perlindungan kepada Ustaz Adam.
            Secara konklusinya, terdapat beberapa impak positif dan negative dalam filem Munafik ini. Impak positif yang boleh diambil adalah daripada lakonan Ustaz Adam yang sentiasa percaya dan yakin dengan kuasa Tuhan terhadap manusia. Di samping itu, beliau juga seorang yang prihatin terhadap masyarakat dan sentiasa berusaha untuk menghapuskan amalam khurafat dalam kalangan masyarakat di kampungnya. Manakala impak negatif yang perlu dihindari dan dielakkan ialah lakonan Pak Osman. Pak Osman ialah seorang yang mempunyai ilmu agama yang tinggi dan merupakan pengamal perubatan secara Islam yang baik. Namun begitu akibat daripada perasaan iri hati yang mendalam menyebabkan beliau bersikap zalim terhadap Ustaz Adam sekeluarga, sahabatnya dan anaknya Maria. Oleh yang demikian, sebagai seorang yang beragama islam kita perlulah entiasa percaya dan taat kepada perintah Allah. Serta menghindari amalan khurafat yang sangat dilarang dan dilaknati Allah.

CARA PENYELESAIAN DAN PENGAWALAN FILEM YANG BERUNSURKAN KHURAFAT

            Sepertimana yang kita ketahui terdapat banyak nilai dan impak yang negatif dalam penghasilan filem yang berunsurkan khurafat. Perkara ini terjadi berpunca daripada sikap sesetengah para pengarah filem yang tidak mengambil prihatin akan penghasilan filem yg dikeluarkan. Kebanyakan filem yang dihasilkan ini mempunyai unsur-unsur khurafat yang berlebihan sehingga boleh memberi pengaruh negatif kepada masyarakat di Malaysia. Oleh hal yang demikian, pelbagai tindakan penyelesaian dan pengawalan perlulah diambil bagi memastikan pengaruh negatif ini terus berlarutan dan berleluasa dalam kalangan masyarakat.
            Tindakan utama yang perlu dilakukan ialah tindakan daripada pihak atasan yang memantau dan pengawalan penghasilan perfileman di Malaysia. Pihak utama yang perlu bertindak ialah Suruhanjaya Multimedia dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia. Pihak berkuasa ini haruslah sentiasa memastikan penghasilan filem-filem di Malaysia ini menepati piawaan yang ditetapkan dalam akta yang telah disabitkan. Filem yang dihasilkan juga perlulah ditapis dan diuji selidik terlebih dahulu secara lebih jelas oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). FINAS juga hendaklah mendokumentasi, menyimpan, memelihara dan memulihara bahan kandungan audio visual filem yang dihasilkan secara berkesan. Hal yang demikian kerana bagi memastikan filem yang dihasilkan dan dikeluarkan tidaklah memberi impak yang negatif kepada masyarakat dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.    
            Di samping itu, para penerbit dan pengarah filem juga perlulah sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa dalam penghasilan filem. Antara garis panduan yang telah diwujudkan dan perlu dipatuhi ialah “Garis Panduan Penapisan Bahan-Bahan Penerbitan Berunsur Islam” pada tahun 1996 dan “Garis Panduan – Bahan Penerbitan Bercetak dan Audio Visual Berhubung dengan Unsur-Unsur yang Bercanggah dengan Akidah dan Amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah” yang telah diwujudkan pada 21 November 2005, kedua-dua garis panduan ini telah yang diterbitkan oleh JAKIM dalam usaha membenteras kebendungan gejala tahyul dan khurafat dalam media elektronik. Filem yang dihasilkan juga perlulah sesuai mengikut peringkat umur dan peringkat kesihatan masyarakat untuk ditayangkan. Penerbit perlu menekankan larangan kepada para penonton tentang syarat-syarat tontonan filem seperti larangan bagi para ibu yang mengandung dan anak-anak kecil untuk tontonan filem seram. Perkara ini harus ditegaskan kerana setiap tontonan filem itu memberi impak dan kesan yang mendalam terhadap para penonton. 
            Selain itu, anggota masyarakaat terutamanya ibu bapa haruslah sentiasa prihatin dan bersikap tegas dalam memantau tontonan anak-anak mereka. Ibu bapa perlulah sentiasa tegas dalam perhatian mereka, mereka tidak boleh sewenang-wenangnya memberi kelonggaran kepada anak-anak mereka untuk menonton filem-filem seram. Hal demikian kerana apabila anak-anak yang kecil dibiarkan menonton filem seram akan memberi kesan yang mendalam kepada mereka. Mereka mungkin akan berasa takut untuk berada dalam kawasan gelap dan berfikiran yang tidak enak terhadap persekitaran sehingga menyebabkan mereka menerima ganguan emosi. Sebagai ibu bapa juga hendaklah sentiasa memberi perhatian dan didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Anak-anak ibarat kain putih yang perlu dicorakkan oleh ibu bapanya, jika dicorak dengan baik maka baiklah hasilnya, jika salah coraknya maka buruklah hasilnya. Hal yang demikian kerana apabila anak-anak diberikan didikan agama yang cukup maka mereka tidak akan mudah terpedaya dengan unsur-unsur negatif yang memudaratkan daripada tayangan filem seram yang mereka tontoni.
            Seterusnya, sebagai seorang umat Islam yang mempunyai pegangan agama yang baik hendaklah sentiasa tegas dan tidak memandang remeh dalam penghasilan filem khurafat ini. Mereka perlulah memastikan tayangan filem yang mereka tontoni bebas daripada unsur-unsur khurafat yang boleh mempengaruhi minda. Jika terdapat sebarang unsur-unsur yang berlebihan dalam filem yang ditayangkan, mereka seharunya membuat aduan kepada pihak berkuasa seperti FINAS bagi memastikan kegiatan ini dapat dibanteras dengan segera.
            Natijahnya, semua pihak perlulah saling berganding bahu dan bekerjasama dalam penyelesaian dan pengawalan filem yang berunsurkan khurafat. Pihak-pihak yang berwajib seperti Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia perlulah sentiasa melakukan pemantauan dan mengetatkan peraturan dalam bidang perfileman Negara ini supaya unsur-unsur khurafat ini dapat dibendung dan diatasi dengan sebaiknya. Manakala, masyarakat juga perlulah prihatin dan memandang tegas dalam penghasilan filem yang berunsur khurafat ini. Jika terdapat sebarang unsur-unsur yang berlebihan dalam filem yang ditayangkan, masyarakat perlu membuat aduan kepada pihak berkuasa. Hal ini demikian kerana unsur-unsur khurafat ini boleh memberi impak yang buruk kepada masyarakat sekeliling.
           
KESIMPULAN

Secara rumusannya, kami telah peroleh pelbagai pengajaran dan pengetahuan yang baik daripada kajian ini. Antara pengajaran yang kami peroleh ialah sebagai umat Islam, kita diwajibkan bertawakal dan hanya bergantung kepada Allah selepas berusaha bersungguh-sungguh dalam sesuatu pekara yang dihajati. Terutama sekali dalam melakukan tugas-tugas harian sebagai khalifah di bumi ini. Sebagai contoh, pengajaran yang kami dapat daripada perwatakan Ustaz Adam dalam filem Munafik. Beliau sentiasa bertawakal kepada Allah sama ada berada dalam keadaan susah mahupun senang. 
Di samping itu, kita hendaklah percaya bahawa meminta bantuan kepada makhluk lain selain Allah seperti jin dan syaitan akan memberikan kesan yang memudaratkan dan bukannya memperoleh manfaat dari apa yang diminta. Hal ini kerana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah malah tindakan ini akan mengakibatkan pemikiran umat islam terbelenggu dalam akidah sesat. Contohnya, melalui perjanjian syaitan dan iblis dalam lakonan Pak Osman, beliau telah menggunakan ilmu hitam untuk memuaskan hatinya terhadap Ustaz Adam.  
Tambahan pula, sebagai seorang anggota masyarakat yang prihatin terhadap persekitaran, kita perlulah sentiasa tegas dalam membanteras dan membendung masalah yang berkaitan pengamalan unsur-unsur khurafat dalam kalangan masyarakat. Segala kegiatan khurafat yang berlebihan dalam industri perfileman perlulah dielakkan dan dihapuskan. Mungkin perkara ini tidaklah memberi impak yang besar dalam keseluruhan masyarakat tetapi jika dibiarkan lama ianya pasti memberi kesan buruk kepada keseluruhannya. Firman Allah dalan surah Yunus ayat 106, “Dan janganlah engkau menyembah atau memuja yang lain daripada Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu. Sekiranya engkau mengerjakan yang demikian maka jadilah engkau orang-orang yang berlaku zalim”. Maka dengan itu seharusnya kita lebih berwaspada dalam penghasilan filem yang berunsur khurafat tanpa tapisan dari pihak berkuasa akan tersebar meluas dalam negara.   

Akhir sekali, kita haruslah berpegang teguh dengan ajaran agama Islam dan juga sentiasa memahami dan mendalami ilmu Al-Quran dan Sunnah bagi mengelakkan amalan khurafat ini terus berleluasa dalam kalangan masyarakat khusunya masyarakat Islam kita sendiri. Sebagai khalifah di bumi, kita juga sentiasa dituntut untuk sentiasa taat segala perintah dan meninggalkan segala-Nya, apatah lagi jika perbuatan kita itu berunsurkan khurafat.